Monday, 25 February 2013

Jangan nodai kesucian Allah dan Islam

Buka minda, buka hati.

(Utusan Malaysia 12 Januari 2013)

Akhbar dan wartawan ultra kiasu terus menerus memainkan sentimen kalimah Allah. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, bagi memastikan isu ini berpihak kepadanya. Cara yang paling mudah mendapat sokongan dan simpati,  dengan menelefon dan menemu bual pemimpin-pemimpin bukan Islam dan peguam-peguam ultra kiasu untuk mendapatkan pandangan mereka dan seterusnya mensensikan isu ini. Orang yang tidak pro kepada agenda licik mereka, tidak akan dihubungi. Malang sekali, kita terikut-ikut sama mengikut rentak tari yang dimainkan.

Misalnya, ada yang mencadangkan agar lagu negeri Selangor diubah kerana kalimah Allah ada di situ. Tindakan ini dilakukan, sebagai sindiran tindakan umat Islam yang melarang penggunaan kalimah suci ini. Ternyata, dari segi logiknya, kedua isu ini berbeza. Lagu negeri Selangor mempunyai sejarahnya tersendiri. Kenapa kalimah Allah terdapat lagu tersebut juga ada sebab musababnya? Sejak dahulu lagi bukan Islam tidak selesa menyebutnya, kerana mereka tahu Allah itu adalah Tuhan umat Islam. Mereka terpaksa akur kerana mereka rakyat negeri Selangor. Namun, apabila isu ini timbul, lain pulak ceritanya. Yang tidak selesa menjadi selesa pula. Masihkah kita buta? Perintah raja selaku ketua agama Islam sudah diabaikan. Mereka menjadi semakin kurang ajar.

Sama seperti lagu negara Singapura dan cogan kata “Majulah Singapura”. Versinya tetap dalam bahasa Melayu, walaupun Singapura menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Begitu juga koman-koman dalam tentera, masih menggunakan bahasa Melayu. Kenapa kerajaan Singapura tidak bertindak menukarnya walaupun ada percubaan untuk berbuat demikian? Jawapannya adalah  kerana ia ada nilai sejarah tersendiri. Ia juga menyentuh sensitiviti Melayu. Justeru, jika tidak tahu, bertanyalah. Jangan ikut sedap mulut. 

Contoh lain, selaku pengajar di universiti tentera, logo dan pemakaian pangkat (crown) pasukan keselamatan seperti angkatan tentera (darat laut dan udara), dan polis, rata-rata tertera kalimah Allah dan Muhammad. Orang bukan Islam yang memilih untuk menjadi anggota keselamatan, wajib memakainya, suka atau tidak. Orang bukan Islam menjunjung Allah dan Muhamad walaupun terpaksa.

Persoalannya, adakah kita perlu ubah atau buat logo dan crown yang lain untuk orang bukan Islam. Jawapannya, tidak boleh, kerana ia ada sejarah tersendiri. Memang sebelum ini, ada percubaan untuk menukar logo dan lambang yang tertera, termasuk askar Melayu, kerana ultra kiasu tidak selesa dengan lambang dan identiti tersebut. Kini, secara tiba-tiba bila ada kepentingan, yang dulu menjadi masalah, tidak menjadi masalah lagi. Tuhan mereka juga adalah Allah. Kenapa baru sekarang? Pelik bin ajaib.

Apapun ingin saya tegaskan, isu lagu, logo, lambang kalimah Allah berbeza dengan isu penggunaan kalimah Allah secara rasmi oleh bukan Islam, meskipun dari segi teologi mereka  ada sejarah tersendiri. Membuat perbandingan antara keduanya, membuktikan betapa dangkalnya ilmu kita.

Isu utama adalah soal penggunaan dan perlindungan undang-undang. Sekian lama kalimah Allah tidak pernah digunakan, kenapa baharu sekarang? Misalnya, salah satu faktor kenapa tanah milik kerajaan boleh menjadi milik individu atau  Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura, adalah soal penggunaan. Mereka yang tidak menggunakannya atau membiarkannya, akan terlepas hak milik. Kenapa setinggan mendapat pampasan, kerana mereka membangun dan menggunakan tanah kerajaan. Sekian lama, kalimah Allah tidak pernah digunakan, tiba-tiba ultra kiasu ini begitu beriya-iya. Kenapa ya?

Saya tidak kisah sangat jika UMNO bersetuju penggunaan kalimah Allah di kalangan non Muslim, kerana selama ini pun UMNO dituduh sebagai jahil, taughut dan kafir oleh PAS. Saya amat hairan juga, kenapa PAS tidak mengkafirkan  PKR, sedangkan PKR juga tidak mendaulatkan Islam. Jangan hanya sepakatan, kita tidak berani menegur dan menyembunyikan kemungkaran yang dilakukan.

Dek kerana PKR sama-sama menentang UMNO, maka PAS sanggup bekerjasama. Sedangkan perangai orang PKR sama seperti perangi UMNO. Maaf, saya tidak labelkan semua orang UMNO sebegitu. Begitu juga PAS.

Melayu PKR adalah Melayu yang kecewa dengan UMNO, perangainya tetap sama. Bezanya, hari ini adalah, UMNO mula menyedari kesilapan mereka dan ingin kembali dan memperbaiki kesilapan masa lalu. Harap-harap begitulah. Sedangkan perangai lama UMNO dalam PKR tetap sama. PKR juga merebut projek, rasuah, kaki perempuan dan sebagainya.

Jika tidak ada PAS yang mengawasi, sudah tentu perangai mereka akan menjadi lebih buruk lagi. Justeru, saya amat hairan, kenapa PAS sanggup bekerjasama PKR. DAP usahlah disebut, sebab dari mula hingga kini, terus menentang dan memusuhi Islam. Cuma PAS sahaja perasaan, dengan kerjasama ini, atas nama dakwah.

Malangnya, setakat ini, ultra masih lagi tidak lembut-lembut terhadap Islam? Apakah  kita masih mahu menggunakan alasan lapok, pakatan ini masih baru berbanding dengan pakatan dalam UMNO BN sejak merdeka? Dalam memperkatakan soal kelembutan terhadap, bukan isu baru atau lama. Persoalan yang perlu difikirkan adalah, mereka ini musuh Islam atau kawan Islam?  

Saya memuji sangka baik PAS dalam hal ini. Tetapi saya ingin lihat, berapa ramai orang DAP yang akan diIslamkan oleh PAS melalui kerjasama ini? Apakah PAS dapat melunak mereka yang anti Islam? Apakah PAS akan berjaya membenteras kemungkaran anjuran mereka? Kita tunggu dan lihat.  

Apapun, dalam isu kalimah Allah, saya sama sekali tidak dapat menerima. Pendirian PAS selama ini amat jelas. Pendapat ulamak mereka seperti Harun Din dan Harun Taib, amat tegas sekali. Harun Din pernah sebak menjelaskan isu ini. Begitulah sayangnya segelintir ulamak PAS terhadap ALLAH. Tetapi, bukan semua ulamak PAS bertindak sedemikian. Ada yang menjadi ularmak.

Apa yang saya lihat, semakin lama PAS berkawan dengan DAP, semakin kuat mereka menentang Islam, sama ada kalangan generasi tua mahupun generasi muda. Kenapa? Jawapannya. generasi muda DAP hari ini ramai yang memeluk Kristian, dari memeluk Islam. Dakyah Kristian lebih kuat semenjak PAS bersama mereka daripada dakwah Islam yang berlaku. Justeru, PAS perlu kaji kenapa mereka gagal dalam misi dakwah ini. Bukannya mendabik dada mengatakan, semenjak berkawan dengan DAP, mereka sudah faham Islam. Jika sudah faham, kenapa mereka begitu kuat menentang Islam? Di mana silapnya? Apakah masih menyalahkan UMNO BN itu wajar?

Saya masih teringat azam pemimpin PKR hari ini ketika masih berada dalam UMNO. Dia masuk UMNO kerana mahu mencuci najis yang berada dalam UMNO. Malangnya, setelah berada dalam UMNO, dia terus bergelumang dengan najis tersebut. Hari ini, dia cuba mencuci najis dalam PKR dan DAP, bukti menunjukkan adalah sama. Kenapa? Kerana mereka adalah orang yang sama, membawa perangai dan nafsu serakah yang sama.  

Saya amat berharap UMNO tidak akan goyah dan tetap pendiriannya berhubung isu kalimah ALLAH. UMNO akan hancur jika melakukan sesuatu hanya untuk mendapat simpati politik,  kuasa dan undi. Jangan biarkan kalimah keramat ini dinodai. Jika UMNO juga berlembut seperti mereka, maka jelaslah UMNO masih lagi tidak berubah. UMNO sama juga seperti mereka.

Sejak dulu lagi saya konsisten, bahawa kalimah Allah adalah milik mutlak umat Islam, walaupun agama lain juga berhak ke atas penggunaanNya dari segi teologi. Saya bercakap dalam konteks Malaysia dan cara hidup Melayu, bukan negara lain.

Pertama, agama Islam dilindungi oleh perlembagaan dan terletak di bawah kuasa raja-raja Melayu. Saya telah huraikan sebelum ini, tidak perlu diulang.

Kedua, selama ini kalimah Allah tidak pernah digunakan secara meluas kecuali sedikit sangat di Sabah dan Sarawak. Di peringkat antarabangsa langsung tidak ada. Jika ada, sudah tentu dalam filem-filem barat atau bahan bacaan mereka, akan terselit kalimah ini. Kenapa kita tidak pernah jumpa? Kenapa hari ini ultra kiasu terlalu beriya-iya? Kajilah agenda tersirat dan tersurat.

Agendanya tidak lain, mereka mahu jadikan rantau Melayu sebagai syurga Kristian, setelah mereka gagal di barat.  Mereka telah berjaya di Indonesia. Setiap tahun hampir 2 juta umat Islam di Indonesia menjadi korban kerana ‘gula-gula’ agama ini. Targetnya hari ini adalah orang Melayu dan bukan Melayu terutama orang Cina. Kerana mereka tahu, apabila kumpulan ini memeluk Kristian, mereka lebih Kristian dari Kristian. Lihatlah apa yang berlaku kepada Lina Joey atau Azlina Jailani. Orang Cina, usahlah dikira. Mereka akan menjadi lebih ekstrim apabila memeluk Kristian. Saya lontar idea ini kerana saya pernah menjadi Kristian suatu ketika dahulu.

Ketiga, kalimah Allah dan orang Melayu Islam sudah sebati. Ibarat isi dengan kuku, sudah menjadi darah daging, walaupun Melayu itu jahil sekalipun. Sebab itu, cara kita menggunakan kalimah-kalimah ini berbeza dengan orang lain. Kita menghormati kalimah ini melalui urutan perkataan atau lenggok bahasa bersopan. Misalnya, kalimah Allah, kita tidak sebut perkataan.  Perkataan menggantikan kalimah. Nabi dan Rasul, kita gunakan perkataan Baginda. Apabila Baginda wafat, kita tidak guna perkataan mati, meninggal, atau mangkat. Sehingga kematian Nabi/Rasul dibezakan dengan raja, semata-mata untuk menjaga kemuliaanNya.

Keempat, setakat pergaulan saya, orang bukan Islam, jarang kita jumpa boleh menyebut kalimah Allah dengan betul. Bila menyebut Allah, mesti bunyinya menjadi allaa. Jika tidak percaya, suruhlah ultra kiasu menyebutnya, termasuk pemimpin-pemimpin Kristian yang begitu bersungguh-sungguh mahu menggunakanNya. Bukti menunjukkan bahawa lidah mereka tidak biasa dengan sebutan Allah. Sebutan Allah mereka akan menjadi pelat dan tidak tepat.

Kelima, kalimah Allah bukan terjemahan kepada makna Tuhan. Tuhan digunakan untuk mengajar anak-anak mengenal Allah. Tetapi Allah adalah Allah. Terjemahan Tuhan atau God atau Lord  bukan merujuk kepada Allah. Tetapi oleh kerana kita jahil, maka terjemahan Tuhan digunakan. Apapun, Tuhan itu tidak sama dengan Allah. Sebab itu, apabila kita mengucapkan shahadah, “tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH”. Bukannya, “tiada tuhan yang berhak disembah melainkan tuhan”.

Keenam, kenapa bible dalam versi mandarin, tamil dan bahasa Inggeris langsung tidak tertera  kalimah Allah? Kenapa ultra kiasu begitu bersungguh mahukan bible bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah? Cuba lihat bible dalam bahasa Inggeris, apa yang tertera adalah  tiga nama tuhan yang digunakan iaitu god, yahweh dan Jehovah. Yang mana satu tuhan mereka? Di mana kalimah Allahnya?  Saya berani menyatakan bahawa niat jahat mereka adalah untuk mengelirukan umat Islam supaya menjadi Indonesia kedua di sini. 

Banyak lagi yang ingin saya hujahkan. Kesimpulannya, setiap apa jua perkataan (kalimah) dalam Islam membawa makna yang amat signifikan. Ia perlu difahami dalam konteks perlembagaan dan penghormatan cara hidup penduduk majoriti. Kita tidak boleh menyamakan lagu atau koir dengan selawat. Selawat tetap selawat walaupun apapun bunyi atau melodi lagu digunakan untuk menyampaikan selawat. Bayangkan selepas ini semua semua bukan Islam Islam boleh menggunakan perkataan 99 nama Allah, selawat ke atas Nabi Isa, iman, taqwa dan sebagainya, apakah orang Melayu yang tipis imannya tidak akan terpesong? Ini bukan boleh boleh guna atau tidak, sampaikan dakwah atau tidak, memahamkan bukan Islam atau tidak. Ini soal ancaman terhadap agama Islam yang sengaja dilakukan, kerana mereka tahu peluang ini tidak datang dua kali.

Dipetik dari klik sini

No comments: